- Berikutan penerbitan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai ujian kendiri hepatitis C, Malaysia akan menjadi salah satu negara pelopor di persada global dalam penggunaan teknologi baru yang inovatif ini dalam salah satu kajian impak ujian kendiri hepatitis C yang pertama.
- Kajian ini akan membekalkan data kritikal mengenai impak dan membantu membimbing pelancaran dan peningkatan perkhidmatan ujian kendiri hepatitis C secara global.
FIND, pakatan global untuk ujian diagnostik, bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis AIDS Malaysia (MAC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Inisiatif bagi Ubat untuk Penyakit Yang Diabaikan (DNDi) untuk melancarkan kajian impak ujian kendiri virus hepatitis C di Malaysia.
Dikongsi menjelang Hari Hepatitis Sedunia 2021, pengumuman kajian impak dilakukan ketika webinar Hepatitis C can’t wait, Malaysia isn’t waiting, berikutan nasihat WHO mengenai cadangan baru ujian kendiri virus hepatitis C yang dikongsi di Persidangan Persatuan AIDS Antarabangsa (AIS).
Pada awal Jun, Malaysia mengumumkan kelulusan bersyarat untuk ravidasvir dalam rawatan hepatitis C. Dengan mengambil bahagian dalam kajian impak ujian kendiri hepatitis C global ini, Malaysia memantapkan komitmennya dalam menghapuskan hepatitis C menjelang 2030. Dianggarkan terdapat lebih daripada 400,000 orang yang hidup dengan hepatitis C di Malaysia, tetapi hanya 1% daripadanya yang telah dirawat. Sejak akhir 2019, Malaysia telah menerapkan penjagaan terdesentralisasi untuk hepatitis C dengan memungkinkan kemudahan kesihatan utama untuk menguji dan merawat penyakit ini.
Ketua Gastroenterologi dan Hepatologi Nasional Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata: “Melalui kajian impak ini, kita akan dapat memahami sama ada ujian kendiri dapat meningkatkan pengambilan ujian dalam kalangan mereka yang pada masa ini tidak dapat dicapai oleh kemudahan ujian. Ini dapat meningkatkan kesaksamaan dan akses kepada penjagaan hepatitis C.”
Dijalankan dengan kerjasama organisasi berasaskan komuniti, Majlis AIDS Malaysia (MAC), kajian impak ini akan menggunakan format sedia ada ujian kendiri HIV melalui platform atas talian JOM TEST, dan bertujuan untuk menguji mereka yang mungkin tercicir dalam ujian biasa yang disediakan di kemudahan kesihatan utama.
“Ujian terus memainkan peranan penting dalam rawatan hepatitis C dan memberi peluang rawatan yang sewajarnya kepada mereka yang diuji,” Presiden Majlis AIDS Malaysia Datuk Dr Christopher Lee berkata, “Kami amat berbangga untuk memainkan peranan dalam kajian impak ini yang bertujuan memahami impak penggunaan ujian kendiri sebagai langkah tambahan untuk mendiagnosis hepatitis C, supaya tiada sesiapa yang tercicir dalam ujian dan rawatan penyakit ini.”
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, “Malaysia dengan bangganya berada di puncak inovasi untuk menangani hepatitis C. Semua ini dapat dicapai kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kami berasa gembira kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi seperti FIND, DNDi, MAC dan WHO untuk mencapai matlamat menghapuskan hepatitis C menjelang 2030.
Pengarah Program HIV, Hepatitis dan STI Global WHO, Dr Meg Doherty berkata, “Kami mengucapkan tahniah atas tindakan pantas Malaysia dalam menanggapi pelancaran global WHO mengenai garis panduan ujian kendiri HCV yang pertama, yang diumumkan di Persidangan Persatuan AIDS Antarabangsa 2021 pada 18 Julai 2021. Ini mempunyai implikasi terhadap peningkatan liputan ujian di antara populasi utama dan rentan serta golongan dengan beban yang lebih tinggi terhadap jangkitan virus hepatitis C, dan menyumbang kepada misi nasional untuk menghapuskan penyakit ini menjelang 2030.”
Ketua Pegawai Eksekutif FIND, Dr Bill Rodriguez berkata, “Hepatitis C terus menjadi masalah kesihatan awam bagi kebanyakan negara di seluruh dunia. Dengan melaksanakan kajian ujian kendiri tidak lama setelah garis panduan baru dikeluarkan, Malaysia sekali lagi memimpin dalam penilaian strategi yang dapat mengatasi penyakit ini, dan membekalkan maklumat kritikal bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga negara-negara yang lain. Kami amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada perkongsian ini yang amat berkomited untuk menghapuskan penyakit.”
“Hepatitis C adalah unik kerana kami dapat merancang strategi penghapusan masalah kesihatan awam yang berkesan melalui rawatan mampu milik,” kata Pengarah DNDi Asia Tenggara, Jean-Michel Piedagnel, “Selepas pengumuman kelulusan bersyarat ravidasvir, kajian ini terus menjadikan Malaysia sebagai pejuang yang melawan hepatitis C. Kami amat berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang kekal berinovasi dalam strategi penyaringan untuk memungkinkan penghapusan penyakit.”
Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai setiap tahun dengan tujuan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit berkenaan. Hepatits C dikenali sebagai penyakit senyap di mana sebilangan besar mereka yang dijangkiti tidak mengetahui status mereka dan tidak menunjukkan sebarang simptom. Oleh itu, mereka tidak mendapat rawatan.
Mengenai FIND
Pakatan peringkat global untuk ujian diagnostik, FIND, berusaha untuk memastikan akses yang saksama kepada diagnosis yang boleh dipercayai di seluruh dunia. Kami menghubungkan negara dan komuniti, penderma, pembuat keputusan, penyedia dan pemaju penjagaan kesihatan untuk mencetus inovasi diagnostik dan menjadikan ujian sebagai bahagian integral dalam sistem kesihatan yang lestari dan berdaya tahan. Kami sedang berusaha menyelamatkan 1 juta nyawa melalui diagnosis yang berkualiti dan dapat diakses, dan menjimatkan kos penjagaan kesihatan sebanyak US$1 bilion untuk pesakit dan sistem kesihatan. Kami adalah penganjur bersama pilar diagnostik Pencepat Akses ke Alat COVID-19 (ACT), dan Pusat Kerjasama WHO untuk Pengukuhan Makmal dan Penilaian Teknologi Diagnostik. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.finddx.org
Mengenai DNDi
Sebagai sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan tidak berasaskan keuntungan, DNDi berusaha untuk memberikan akses kepada rawatan baru untuk pesakit yang terabai, mereka yang hidup dengan penyakit Chagas, ‘penyakit tidur’ (Human African trypanosomiasis), leismaniasis, jangkitan filaria, misetoma, HIV pediatrik, dan hepatitis C. DNDi juga bertindak sebagai penyelaras ujian klinikal ANTICOV untuk mencari rawatan bagi penyakit COVID-19 ringan hingga sederhana di Afrika. Sejak ditubuhkan pada tahun 2003, DNDi telah mendatangkan sembilan rawatan baru hingga kini, termasuk kombinasi ubat baru untuk kala-azar, ubat antimalaria dua dos tetap, dan entiti kimia pertama yang dihasilkan oleh DNDi, fexinidazole, yang diluluskan pada tahun 2018 untuk rawatan ‘penyakit tidur’ bagi kedua-dua peringkat. dndi.org
Mengenai WHO
Pertubuhan Kesihatan Sedunia merupakan agensi dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab dalam kepemimpinan global mengenai isu-isu kesihatan awam. Ditubuhkan pada 1948, WHO bekerjasama dengan 194 negara anggotanya dari 6 rantau untuk mempromosikan kesihatan dan menjaga keselamatan dunia serta berkhidmat kepada golongan rentan. Matlamat kami pada 2019-2023 adalah untuk memastikan bahawa satu bilion orang lagi mendapat manfaat daripada akses kepada liputan kesihatan sejagat, satu bilion orang lagi dilindungi daripada kecemasan kesihatan, dan satu bilion orang lagi dapat menikmati kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik. who.int/
Mengenai MAC
Majilis AIDS Malaysia (MAC) ditubuhkan pada 1992 di bawah Kementerian Kesihatan dengan misi untuk mewakili, memobilisasikan serta memperkuatkan organisasi bukan kerajaan dan komuniti yang menangani isu-isu HIV/AIDS. MAC bekerjasama dengan organisasi rakan kongsinya dalam pelbagai aktiviti seperti menyokong dan memperbaharui dasar; meningkatkan kesedaran dan menyediakan bahan komunikasi; mengadakan kempen kesedaran awam;
menjalankan dan menganjurkan bengkel dan seminar; melancarkan program pencegahan dan pendidikan; memberi perkhidmatan penjagaan dan sokongan serta kaunseling psikologi.
Hubungan media
FIND
Sarah-Jane Loveday
Director of Communications
M: +41 79 431 62 44
media@finddx.org
ROOTS PR (Kuala Lumpur)
Sara Sabri
sara.sabri@rootsasia.com
+60 14 3385945
DNDi
Frédéric Ojardias (Geneva)
fojardias@dndi.org
+41 79 431 62 16
Molly Jagpal (Kuala Lumpur)
mjagpal@dndi.org
+60 12 546 8362
Ilan Moss (New York)
imoss@dndi.org
+1 646 266 5216
Photo credit: Abang Amirrul Hadi – DNDi